Sejuta pelancong tiba di Malaysia

SHAH ALAM 4 Jun – Lebih sejuta pelancong tiba di negara ini, iaitu melebihi separuh daripada sasaran dua juta pelancong antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada tahun ini, sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata sebahagian besar daripada jumlah itu adalah dari Singapura dan dijangkakan lebih ramai lagi pelancong terutamanya dari Jepun, Iran dan Korea akan datang ke negara ini.

Katanya, pada dua bulan lepas Malaysia menerima kira-kira 600,000 pelancong dari Singapura dan angka dari negara jiran itu dijangka telah melebihi satu juta.

“Bagi pelancong negara lain, kita belum dapat memberi jumlah yang tepat kerana masih menunggu maklum balas pihak yang berkenaan, tetapi memadai untuk dikatakan kita telah mencapai lebih separuh daripada apa yang disasarkan,” katanya selepas melancarkan Livery Pesawat Firefly Airlines dan Kempen #Gojalanlah di sini, hari ini.

Menurutnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ‘mesra pelancong’ juga diyakini mampu menjadi daya tarikan bagi kedatangan lebih ramai pengunjung luar negara ke Malaysia.

Bagaimanapun, menurutnya industri pelancongan negara masih berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja impak daripada wabak Covid-19, termasuk terdapat pekerja hotel takut untuk kembali bekerja kerana ketidaktentuan industri itu yang mungkin ditutup semula.

Nancy berkata pihaknya masih belum menerima pengesahan mana-mana hotel yang terpaksa ditutup kesan daripada Covid-19, namun beliau dimaklumkan sesetengah hotel ditutup sementara untuk kerja pengubahsuaian dan ada yang diguna semula untuk tujuan lain.

Related posts

Leave a Comment