PT3 mansuh, ujian akhir diperkenal

PUTRAJAYA 2 Jun – Mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), kata Menteri Kanan Pendidikan,  Radzi Jidin hari ini.

Justeru mulai tahun ini,  dalam usaha untuk memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kementerian akan menambah baik dengan melaksanakan Pentaksiran Sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik..

“Kita akan memantapkan Ujian Akhir Sesi Akademik di sekolah rendah untuk lima mata pelajaran (Tahun 4 hingga 6), manakala di sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga 3) melibatkan semua mata pelajaran,” katanya pada satu sidang media.

KPM akan menyediakan bank soalan bagi lima mata pelajaran untuk murid sekolah rendah, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan guru.

Bagi sekolah menengah, Radzi berkata, KPM akan menyediakan bank soalan untuk semua mata pelajaran.

“Jika kita lihat, apabila bercakap UPSR dan PT3, ini adalah pentaksiran sumatif, bukan hanya pada tahun itu tapi tahun-tahun sebelumnya.

“Ia bukan hanya menilai silibus pada Tingkatan Tiga saja (bagi PT3) tapi turut menilai pembelajaran bagi Tingkatan Satu dan Dua. Jadi, murid sudah lama tinggalkan dan pada Tingkatan Tiga, mereka rasa gugup (untuk berdepan PT3).

“Justeru, dalam pendekatan baharu yang kita perkenalkan ini, kita akan laksanakan penilaian mengikut tahun dan tingkatan,” katanya.

Penilaian sumatif atau taksiran sumatif ialah penilaian pembelajaran dan meringkaskan pembangunan pelajar pada suatu masa tertentu.

Kedua-dua pentaksiran UPSR dan PT3 tidak dijalankan pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, langkah itu bukan untuk menggantikan UPSR dan PT3 sebaliknya mengisi kekosongan, apabila KPM menerina banyak pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah, mengenai tidak ada satu piawaian soalan yang boleh digunakan dan dipercayai.

Related posts

Leave a Comment