UMNO perkukuh hubungan komponen PH

KUALA LUMPUR 14 Sept. – UMNO kekal menjadi entiti dalam Kerajaan Perpaduan yang menerajui pentadbiran negara seperti mana dipersetujui sebelum ini dan tidak timbul sebarang isu berkaitan UMNO perlu bergerak solo.

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pada masa yang sama, UMNO akan memperkukuh dan memperkasa hubungan kerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan seperti ketetapan MKT UMNO pada 23 November 2022 serta diabsahkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun lalu.

Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat malam ini tidak membincangkan isu menyentuh Ahli MKT, Isham Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Katanya, isu membabitkan pemecatan beberapa ahli UMNO tidak dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini, sebaliknya tertumpu kepada usaha memperkasakan parti itu.

“Isham tidak hadir mesyuarat, jadi tiada apa-apa isu yang dibangkitkan oleh beliau,” katanya.

Kelmarin, Isham dalam kenyataan di Facebook mendakwa ada beberapa ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat berkenaan termasuk dirinya.

Beliau mendakwa ia susulan kelantangan mereka mengkritik keputusan pimpinan UMNO untuk bersama PH menyertai pilihan raya.

Muhammad Jailani pula dikatakan berdepan tindakan kerana menghadiri majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor, baru-baru ini.

Sementara itu, mesyuarat MKT juga meminta seluruh pimpinan UMNO yang menganggotai pentadbiran negara terutama menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi serta syarikat milik kerajaan memberi fokus agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat.

Asyraf berkata, UMNO menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera.

Sehubungan itu, katanya, UMNO menawarkan untuk mengurus selia penganjurannya seperti pernah dilaksanakan pada 1965 sehingga tertubuhnya Majlis Amanah Rakyat (Mara) setahun kemudian.

“MKT juga membincangkan langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Ia diperoleh daripada semua UMNO bahagian seluruh negara termasuk sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Kita mahu mengadakan Konvensyen UMNO bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti, selain membumikan kefahaman ahli parti di peringkat akar umbi mengenai ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip serta hala tuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, MKT turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor,  Onn Hafiz Ghazi.

Related posts

Leave a Comment