Harga vaksin ikut kadar siling

KUALA LUMPUR 31 Mei – Kerajaan tidak mengawal harga pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas yang terpaksa mendapatkan imunisasi itu di fasiliti kesihatan swasta, bermula esok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata bayaran vaksinasi itu bagi kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sebelum ini, adalah bergantung pada fasiliti kesihatan swasta yang dikunjungi selepas hari ini.

Katanya, ia bergantung pada pihak swasta untuk mengenakan bayaran yang turut membabitkan caj konsultasi, peralatan dan perkhidmatan tetapi, harga vaksin itu perlu mengikut kadar siling ditetapkan.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022, di sini, hari ini.

Menurut Dr Noor Azmi, KKM akan memfokus untuk menyelesaikan pemberian vaksin kepada 300,000 kanak-kanak bakal berusia lima tahun selepas 31 Mei (hari ini), yang akan diberi masa mendaftar bermula esok hingga 31 Januari tahun depan.

Hingga kini, KKM belum membuat keputusan berhubung pemberian vaksin dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, kerana ingin memfokus kepada kumpulan 300,000 kanak-kanak itu terlebih dahulu yang dijangka boleh melonjakkan peratusan.

Bermula 1 Jun 2022 hingga 31 Januari 2023, PICK hanya menawarkan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak yang baru berusia 5 tahun pada atau selepas 31 Mei 2022, melalui Klinik Kesihatan dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Related posts

Leave a Comment