Bukan kejutan cacar monyet di Singapura

SINGAPURA 28 Mei – Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Singapura mengesan kes cacar monyet dalam masa beberapa minggu akan datang.

Ini berikutan penduduk negara ini melakukan perjalanan ke luar negara secara meluas di samping kedudukan Singapura sebagai sebuah hab komersial dan antarabangsa.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa Singapura sudah menetapkan protokol-protokol dan langkah-langkah kesihatan awam yang diperlukan selepas kes import cacar monyet dilaporkan di sini pada 2019.

“Cacar monyet sangat tidak mungkin menjadi pandemik seperti Covid-19. Kebanyakannya menular melalui sentuhan fizikal rapat dan bukan melalui udara seperti Covid-19, yang menular dengan lebih pantas dan meluas,” katanya.

Dalam catatan Facebooknya, beliau berkata cacar monyet sudah mendapat banyak perhatian, termasuk di Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang beliau hadiri baru-baru ini.

“Penyakit itu bukan lagi penyakit yang jarang berlaku dan terhad kepada tempat-tempat tertentu di Afrika saja, tetapi menular dari manusia ke manusia di banyak kawasan merata dunia,” katanya.

Setakat ini lebih 200 kes cacar monyet sudah dikesan di lebih 20 negara di mana ia adalah virus yang berkemungkinan berpunca daripada haiwan, seperti tikus, kepada manusia, di rantau-rantau tertentu di Afrika.

Mereka yang dijangkiti mungkin mengalami gejala demam, berasa seram sejuk, sakit kepala, sakit otot dan bengkak-bengkak.

Cacar monyet biasanya dikesan pada bahagian muka/mulut atau kemaluan sebelum merebak ke seluruh badan. Ia mungkin kelihatan seperti cacar air biasa dan oleh itu penting ia diperiksa oleh seorang doktor.

“Sesiapa sahaja yang mengalami ruam yang tidak dapat dipastikan, sekalipun anda tidak ke luar negara baru-baru ini, anda harus berjumpa doktor dengan segera untuk diperiksa supaya dapat didiagnosis dan boleh dirawat lebih awal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment