Melaka rai pengamal media sempena HAWANA

ALOR GAJAH 28 Mei – Pengamal media malam ini dirai pada majlis makan anjuran kerajaan negeri Melaka sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di bandar raya bersejarah ini.

Kemuncak sambutan HAWANA 2022 bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok, akan menjadi perhimpunan terbesar wartawan dan pengamal media tanah air.

Majlis makan malam di A Famosa Resort itu, dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Majlis itu turut dihadiri 15 wakil media dari Indonesia termasuk Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia Asro Kamal Rokan, yang juga bekas Pemimpin Umum agensi berita Antara.

Turut hadir tokoh wartawan negara Tan Sri Johan Jaaffar; Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Mokhtar Hussain; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin; dan Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus.

Antara pengamal media lain yang hadir ialah Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail; Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad Kamarudin Mape; Ketua Pegawai Operasi Melaka Hari Ini (MHI) Anuar Shaari; dan Pemangku Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Pada 30 Nov 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. Tarikh itu dipilih bersempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

HAWANA disambut bagi mengiktiraf peranan pengamal media di Malaysia dalam menyampaikan maklumat, dasar dan program kepada masyarakat.

— BERNAMA

Related posts

Leave a Comment