Sasar 6 juta ayam daging setahun

KUALA LUMPUR 27 Mei – FELCRA Berhad bercadang mengeluarkan sekurang-kurangnya enam juta ayam daging setahun seawal akhir tahun ini atau awal tahun depan, menerusi projek ayam pedaging sistem tertutup.

Menteri Pembangunan Luar Bandar,  Mahdzir Khalid, berkata FELCRA akan menggunakan peruntukan berjumlah RM368 juta bagi memperkasa sektor pertanian dan penternakan, dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.

Katanya, daripada RM368 juta yang diperuntukkan, sekitar RM60 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan projek kilang pemprosesan makanan ternakan.

Beliau berkata, antara tumpuan FELCRA Berhad adalah makanan ternakan yang sudah dilaksanakan di beberapa lokasi seperti di Terengganu dan Perak di mana antara faktor kenaikan harga barangan ketika ini adalah kerana makanan ternakan.

“Selain itu, FELCRA Berhad juga sedang meninjau untuk memperkasakan sektor ternakan ayam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Mesra Aidilfitri FELCRA Berhad di sini, hari ini.

Salah satu daripada tiga lokasi projek ayam pedaging sistem tertutup FELCRA Berhad dijangka mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya enam juta ekor ayam daging setahun tidak lama lagi.

Projek itu kini dalam proses pembinaan di Tanjung Seratus di Kuala Rompin, Pahang, selain turut mengenal pasti tapak projek di Padang Terap, Kedah dan Machang, Kelantan.

Untuk peringkat pertama, pelaksanaan projek ini di Tanjung Seratus dijangka mampu mengeluarkan enam juta ayam setahun, bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Data Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menunjukkan keperluan ayam di Malaysia ketika ini adalah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta sebulan.

Bagaimanapun jumlah pengeluaran ayam bagi tiga bulan terakhir tahun lalu tidak mencapai jumlah berkenaan apabila mencatatkan sekitar 51.4 juta hingga 61.1 juta ekor sebulan.

Related posts

Leave a Comment