Jepun buka semula pelancongan

KUALA LUMPUR 27 Mei – Selepas dua tahun industri pelancongan Jepun terhenti, mulai 10 Jun ini, rakyat Malaysia boleh melancong ke Jepun dengan kemasukan secara bersyarat menerusi rombongan pelancongan

Presiden Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) Kuala Lumpur, Satoshi Seino, berkata mulai 1 Jun pelawat dari negara dalam kategori biru termasuk Malaysia tidak perlu lagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerasa Chain Reaction (RT-PCR) dan kuarantin selepas tiba di negara itu.

“Secara umumnya, had jumlah ketibaan antarabangsa ke Jepun juga akan ditambah daripada 10,000 kepada 20,000 mulai 1 Jun ini.

“Bagi tujuan pelancongan pula, kemasukan bersyarat akan dibenarkan mulai 10 Jun dan seterusnya bagi pelawat asing dalam rombongan pelancongan terkawal yang dikendalikan oleh agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Satoshi berkata, JNTO Kuala Lumpur menyambut baik pengumuman oleh Jepun berhubung pembukaan industri pelancongan dan akan berusaha untuk mempromosikan pelancongan ke negara itu.

“Kita juga bersedia dengan kemasukan bersyarat yang ditetapkan kerajaan Jepun untuk tujuan pelancongan itu, namun bagi saya ini adalah langkah pertama ke arah pemulihan pelancongan masuk ke Jepun,” katanya.

Terdapat beberapa acara antarabangsa yang akan diadakan di Jepun, termasuk World Tourism Organisation (UNWTO) World Forum mengenai Pelancongan Gastronomi pada Disember ini, Adventure Travel World Summit (ATWS) dan Expo 2025 Osaka, Kansai.

Related posts

Leave a Comment