Naik taraf hubungan Makaysia-Jepun

TOKYO 27 Mei – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mencadangkan supaya hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf kepada perkongsian strategik yang komprehensif (CSP).

“Kita ingin cadangkan supaya ditingkatkan hubungan kita daripada ‘strategic partnership’ kepada ‘comprehensive strategic partnership’,” kata Ismail Sabri dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di sini.

Pertemuan berlangsung di Kantei atau Pejabat Perdana Menteri Jepun, dan ini kali pertama kedua-dua pemimpin itu bertemu, bagi mengadakan perbincangan dua hala sejak kedua-duanya menerajui kerajaan masing-masing pada 2021.

Perdana Menteri yang diiringi delegasi berprofil tinggi mengadakan perbincangan dua hala dengan Kishida bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini pernah mengadakan sidang Jepun-Malaysia melalui panggilan telefon pada 20 April lalu, yang menyaksikan perbincangan kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf daripada ‘enhanced partnership’ kepada ‘strategic partnership’ pada 2015.

Pertemuan itu adalah bersempena lawatan kerja rasmi Ismail Sabri ke Jepun, yang menyaksikan beliau turut mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia, perhimpunan tahunan pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik.

Beliau juga bertemu tokoh perniagaan dan korporat di Jepun bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

Tahun ini ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang telah memberi sumbangan besar dalam pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Related posts

Leave a Comment