BERAKAS 27 Mei – Jumlah kes harian Covid-19 di Brunei Darussalam hari ini menunjukkan penurunan dengan merekodkan 174 kes berbanding 222 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 147,667.
Menteri Pertahanan II, Halbi Mohd Yussof, yang mewakili Menteri Kesihatan berkata, sebanyak 173 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala satu kes lagi hasil daripada 271 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.
Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 4 dan Kategori 5.
Beliau memberitahu , sebanyak 222 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 145,916 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,528 iaitu tiga kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,525 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Sementara itu semalam, seramai 191 dos pertama vaksin Covid-19 telah diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun menjadikan jumlah keseluruhan 34,265 atau 79.8 peratus telah menerima satu dos.
Sebanyak 1,061 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 19,114 dos atau 44.5 peratus menerima dua dos manakala 70.2 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.