Malaysia tingkat sumbangan kepada WHO

PUTRAJAYA 26 Mei – Malaysia bersetuju meningkatkan sumbangan negara sebanyak 40 peratus kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2029, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, keputusan itu sebagai tanda sokongan kepada pertubuhan itu yang melaksanakan peranan penting dalam memberi nasihat berhubung kesihatan awam dan kesihatan kecemasan.

“Kita mahu WHO menjadi sebuah pertubuhan yang dilengkapkan dengan baik untuk memenuhi tujuannya. Sebelum kelulusan resolusi di WHA, jemaah menteri bersetuju lebih awal supaya memenuhi kriteria yang ditetapkan 20 peratus daripada bajet asas pada 2024 kepada 40 peratus pada 2029.

“Ini menunjukkan kita sebagai ahli yang bertanggungjawab dan menyokong kepada usaha kerja yang dilakukan oleh WHO,” katanya dalam sidang media yang berlangsung secara maya dari Geneva, Switzerland, hari ini.

Sementara itu, sebanyak lapan intervensi atau kenyataan negara sudah disampaikan Malaysia pada Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 yang berlangsung di Geneva, Switzerland.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan penting untuk memastikan Rantau Pasifik Barat menjadi contoh adil dan saksama dalam setiap program yang dijalankan oleh WHO.

“Contohnya ketika pandemik lalu, isu kesaksamaan dalam pengagihan vaksin tidak berlaku. Sekiranya dunia berjaya menubuhkan satu rangkaian pembuatan vaksin yang adil dan saksama, apabila pandemik berlaku pada masa hadapan, kita tidak akan melihat keadaan yang teruk seperti dua tahun lalu, “ katanya.

Menurut Jhairy, ketika memenuhi jemputan khas Presiden Forum Ekonomi Dunia (WEF), Borge Brende bagi menghadiri forum itu di Davos, Switzerland dua hari lalu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan syarikat farmaseutikal supaya mereka meningkatkan pelaburan dalam bidang penyelidikan klinikal kerana ia memberi kesan pulangan yang tinggi

Beliau juga berkata,  Malaysia turut bersedia untuk terus menjadi tuan rumah kepada Pusat Servis Global WHO berpangkalan di Cyberjaya yang disifatkan sebagai sumbangan sukarela kepada pertubuhan itu.

Sementara itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan lima pelan strategi bagi menghadapi risiko kemasukan wabak cacar monyet atau monkeypox ke Malaysia.

Ia merangkumi pengesanan awal kes, memperkukuh diagnostik, pengurusan kes, pengurusan kluster/wabak dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti.

“Strategi menangani monkeypox di Malaysia objektif umumnya adalah untuk kita mencegah kemasukan dan penularan jangkitan monkeypox. Setakat ini kita masih belum ada kes monkeypox di Malaysia,” katanya

Beliau berkata KKM turut mewujudkan ‘Health Alert monkeypox’ dalam aplikasi MySejahtera yang akan diaktifkan mulai esok dengan pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes monkeypox akan menerima Health Alert tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

“Ini adalah ciri baharu yang akan aktif esok. Mereka tidak akan terima HSO (arahan pengasingan di rumah) tetapi mereka akan terima pop up alert. Kenapa (tempoh) 21 hari, ini kerana tempoh inkubasi cacar monyet adalah sehingga 21 hari,” katanya.

Negara endemik yang melaporkan kes cacar monyet adalah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.

Selain itu, Khairy berkata KKM juga sedang merancang untuk membuat vaksinasi kepada kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan cacar monyet terhadap mana-mana individu.

Menurutnya buat masa ini terdapat dua makmal yang boleh menjalankan ujian cacar monyet iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di bawah KKM.

“Cadangan penambahan jumlah makmal, kita akan tambah empat lagi MKAK di Sarawak dan Hospital Langkawi bagi pengesanan virus monkeypox,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment