Zuraida jawab surat tunjuk sebab 23 Mei

KUALA LUMPUR 26 Mei – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membincangkan kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Bersatu  dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti baru-baru ini.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei lalu dihantar kepada Ahli Parlimen Ampang itu dan beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab berkenaan menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan malam ini berikutan pengumuman Zuraida keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Muhyiddin berkata, sebelum ini terdapat laporan mengatakan Zuraida terbabit secara langsung dalam penubuhan PBM dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti berkenaan.

Berikutan pengumuman Zuraida itu, Bersatu akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet berikutan ia adalah kuota parti itu.

“Kita akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri adalah atas kuota Bersatu.

“Memandangkan beliau sudah membuat pengumuman menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahliannya dalam Bersatu gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment