250 kes harian Brunei Darussalam

BERAKAS 25 Mei  – Jumlah kes harian Covid-19 di Brunei Darussalam hari ini adalah sebanyak 250 naik sedikit berbanding 246 semalam  menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 147,271.

Menteri Pertahanan II, Halbi Mohd Yussof, yang mewakili Menteri Kesihatan berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 244 adalah hasil Ujian ART dan enam kes lagi hasil 298 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, satu kes direkodkan dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Katanya, tiada kes direkodkan dalam Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Beliau memberitahu , sebanyak 261 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 145,427 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,622, iaitu 14 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,608 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, seramai 132 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 33,941 atau 79.1 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 783 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 17,222 atau 40.1 peratus menerima dua dos manakala 69.9 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment