KUCHING 24 Jan. – Kementerian Kesihatan setakat ini mengeluarkan sebanyak 11,752 notis amaran untuk semua kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata ia adalah hasil pemeriksaan ke atas 119,555 premis seluruh negara
Bagaimanapun katanya, semua kesalahan itu tidak dikenakan kompaun kerana ketika ini KKM masih dalam tempoh melaksanakan penguatkuasaan pendidikan yang mana notis dikeluarkan terhadap pesalah dan diberi amaran atau pendidikan.
“Tetapi, selepas 1 April tahun ini, kita akan menguatkuasakan tindakan kompaun seperti yang termaktub dalam undang-undang itu,” katanya selepas menghadiri Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Sarawak di Topspot Food Court, di sini, hari ini.
Mengenai penggunaan kamera badan untuk penguatkuasa KKM yang terbabit dalam operasi penguatkuasaan Akta 852, Lukanisman berkata seramai 357 sudah dilengkapi peralatan itu dengan 45 daripadanya di Sarawak.
Katanya, KKM sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah kamera badan dalam usaha memastikan keberkesanan penugasan.
“Ia termasuk untuk memastikan integriti diutamakan agar penguatkuasa tidak ditawarkan sesuatu oleh pesalah, selain memastikan keselamatan penguatkuasa kita daripada ancaman.
“KKM juga sebenarnya menghadapi kekurangan anggota untuk melaksanakan penguatkuasaan, walaupun kini kita ada kira-kira 6,000 penguatkuasa,” katanya.
Mengenai perkembangan projek Hospital Petra Jaya, Lukanisman berkata kemudahan itu yang mula dibina sejak 2013, sudah 82 peratus siap.
“Kita jangka hospital yang amat dinanti-nantikan penduduk Kuching itu akan siap pada Ogos ini dan hanya akan beroperasi pada suku pertama tahun depan,” katanya.
Nnn