1,939 ambil dos penggalak kedua

BANGI 25 April – Sebanyak 1,939 dos penggalak kedua diberikan kepada penerima, dengan kebanyakan daripadanya merangkumi warga emas yang mempunyai komorbiditi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, kebanyakan agihan suntikan dos penggalak kedua itu adalah secara ‘walk in’ atau datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Beliau berkata, pemberian vaksin kepada tiga golongan berkaitan seperti diumumkan sebelum ini akan diteruskan bagi mengekang risiko jangkitan kepada individu berisiko dan yang mempunyai keperluan tertentu.

“Setakat ini sudah bagi 1,939 dos penggalak kedua, kebanyakan adalah ‘walk in’ kepada PPV dan babitkan warga emas yang ada komorbiditi,” katanya pada sidang media, hari ini

Susulan kajian jawatankuasa teknikal Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai ancaman jangkitan terhadapa golongan berisiko, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan dos penggalak kedua secara ‘pilihan’ dengan janji temu mula dihantar mulai Jumaat lalu.

Menyentuh pengumuman penting berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Rabu ini, Khairy berkata pihaknya mengambil pendekatan bersifat selamat dan cermat bagi memastikan Malaysia tidak tersilap langkah.

Sehubungan itu, katanya, kementerian mengadakan perbincangan secara ‘panjang lebar’ demi mengelak daripada berdepan nasib sama seperti segelintir negara luar yang terpaksa kembali mengetatkan langkah kawalan berikutan lonjakan kes jangkitan harian.

“Kita tak nak silap langkah dan ingin pastikan hospital tak tertekan, justeru apa pun sekatan atau kelonggaran yang kita beri adalah bersifat selamat dan cermat,” katanya.

Mengenai urusan haji tahun ini, Khairy berkata penyelarasan akan dilakukan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) susulan protokol terbaharu yang hanya membenarkan individu berusia bawah 60 tahun untuk ke tanah suci.

Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa petugas kesihatan untuk membantu jemaah di tanah suci akan kekal mencukupi meskipun terpaksa akur dengan protokol terbaharu berkenaan.

Related posts

Leave a Comment