RAMALLAH – Israel meningkatkan sasaran sistematik terhadap wartawan sebagai sebahagian daripada dasar lebih luas untuk membungkam suara Palestin dan memadam naratif rakyat Palestin.
Tindakan itu termasuk pembunuhan secara langsung, penahanan sewenang-wenangnya, gangguan sistematik dan ugutan, sekali gus menjadikannya antara tempoh paling berdarah dalam sejarah kewartawanan Palestin.
Demikian laporan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Persatuan Tahanan Palestin dan Persatuan Hak Asasi Manusia Al-Dameer, yang dikeluarkan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
Institusi berkenaan berkata, sejak bermulanya serangan Israel di Semenanjung Gaza, lebih 260 wartawan terbunuh manakala lebih 240 lagi ditahan, dengan lebih 40 masih berada dalam tahanan.
Mereka memaklumkan bahawa antara yang ditahan ialah 20 wartawan yang ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan berdasarkan “fail rahsia”, termasuk empat wartawan wanita.
Mereka mengenal pasti tahanan terbaru Islam Amarneh, yang ditahan dari kem pelarian Dheisheh di Baitulaham, sebagai sebahagian daripada pola berterusan sasaran terhadap wartawan, sambil menyatakan beliau ialah adik kepada seorang lagi wartawan yang turut ditahan di bawah tahanan pentadbiran.
Sekurang-kurangnya 14 wartawan dari Gaza masih ditahan, manakala dua lagi – Nidal al-Wahidi dan Haitham Abdel Wahed – masih hilang secara paksa, dalam pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Laporan itu turut merujuk kematian wartawan Marwan Harzallah di dalam penjara Megiddo, Mac lalu dengan menyatakan beliau meninggal dunia akibat dasar pengabaian rawatan perubatan walaupun keadaan kesihatannya diketahui umum, termasuk kecederaan terdahulu yang menyebabkan satu daripada kakinya dipotong.
Institusi itu turut merujuk kes tahanan rumah secara paksa, termasuk membabitkan wartawan, Sumayya Jawabreh dan Bayan al-Ju’ba, selain larangan dan sekatan sistematik terhadap wartawan di Baitulmuqaddis, khususnya di sekitar Masjid Al-Aqsa, termasuk pengusiran paksa, larangan membuat liputan, gangguan dan intimidasi.
Sasaran terhadap wartawan melalui pembunuhan, penahanan atau kehilangan secara paksa adalah melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, selain perlindungan yang diberikan di bawah Konvensyen Geneva.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, memberi amaran bahawa peningkatan serangan terhadap wartawan di seluruh dunia adalah suatu tindakan menggugat kebebasan, kebertanggungjawaban dan masyarakat demokratik.
Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, semalam, Turk menyifatkan media bebas sebagai ‘oksigen kepada masyarakat yang bebas dan terbuka’, berperanan memaklumkan perdebatan awam, mendedahkan penyalahgunaan serta menggalakkan ketelusan.
Beliau berkata, bidang kewartawanan kini semakin berbahaya dengan sekurang-kurang 14 wartawan terkorban tahun ini hingga kini, manakala hanya kira-kira satu daripada 10 kes pembunuhan sepanjang dua dekad lalu membawa kepada akauntabiliti penuh.
Turk turut menekankan risiko dihadapi wartawan di zon konflik, dengan menyifatkan serangan Israel di Semenanjung Gaza sebagai ‘perangkap maut’ bagi pengamal media yang mana hampir 300 wartawan terkorban sejak Oktober 2023.
Katanya, berlaku peningkatan ancaman di luar zon perang termasuk melalui pengawasan, intimidasi undang-undang dan gangguan dalam talian, dengan wartawan wanita menjadi sasaran secara tidak seimbang.
Sambil menggesa tindakan segera diambil, Turk meminta negara-negara agar menghentikan penganiayaan terhadap media, memansuhkan undang-undang yang menyekat, serta memastikan akauntabiliti terhadap serangan.
Nnnn
