Risiko tersebar ke Malaysia rendah

PUTRAJAYA 21 Mei – Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah kecuali sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Cacar monyet adalah disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses. Virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan.

“Virus cacar monyet juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tempoh inkubasi biasanya ialah antara enam hingga 21 hari, dan akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu,” katanya.

Media melaporkan wabak cacar monyet menular di beberapa negara benua Eropah meliputi United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat, Kanada serta Australia.

Setakat semalam, lebih 100 kes dilaporkan sama ada yang disahkan mahupun disyaki. Kebanyakan kes jangkitan tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu. Laporan awal menyatakan sebahagian kes terbabit mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan pesakit cacar monyet.

Menurut Dr Noor Hisham, gejala jangkitannya mirip cacar (smallpox) membabitkan demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.

“Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan bengkak kelenjar limfa.

“Kanak-kanak dan individu yang memiliki tahap imuniti rendah (immune deficiency), mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian di negara endemik cacar monyet dianggarkan sebanyak tiga hingga enam peratus,” katanya.

Beliau berkata, pengembara ke kawasan yang terdapat penularan virus itu seperti Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara sedang dilanda wabak berkenaan pula dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Pengembara yang tiba di Malaysia dari kawasan yang terdapat jangkitan cacar monyet dan mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan berkenaan, dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan berkenaan, elak kontak langsung dengan individu lain, serta lakukan pengasingan diri sekurang-kurang 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesanan virus penyebab cacar monyet dalam kalangan manusia.

Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan.

Related posts

Leave a Comment