Peningkatan kes di Brunei Darussalam

BERAKAS 21 Mei  – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 271 kes baharu Covid-19, sedikit peningkatan berbanding 261 semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan setakat ini 146,315.

Menteri Pertahanan II, Halbi Mohd Yussof, yang mewakili Menteri Kesihatan berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 267 adalah hasil Ujian ART dan empat kes lagi hasil 267 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 5, dan juga  Kategori 4.

Katanya, sebanyak 330 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 144,387 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,707 kes, iaitu 11 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,696 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 59 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 33,176 atau 77.3 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 119 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 14,307 atau 33.3 peratus manakala 69.2 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment