BEIJING: Dua pertiga penerbangan dibatalkan di Beijing dan semua sekolah di ibu negara China itu ditutup semula ketika pihak berkuasa berusaha mengekang penularan baharu Covid-19 yang ada kaitan dengan pasar borong makanan.
Sekurang-kurangnya 1,255 penerbangan yang dijadualkan terpaksa dibatalkan pagi ini, membabitkan 70 peratus daripada semua perjalanan ke dan dari lapangan terbang utama Beijing.
Bandar itu dilaporkan merekodkan sebanyak 31 kes baharu hari ini sehingga penduduk digesa supaya tidak meninggalkan Beijing ketika timbul kebimbangan terhadap gelombang kedua jangkitan di China.
Puluhan ribu orang yang mempunyai kaitan dengan dengan kelompok baru di Beijing, yang dipercayai berpunca daripada pasar borong makanan di bandar Xinfadi, diuji dengan hampir 30 kejiranan kini di bawah perintah berkurung.
Sementara itu, beberapa wilayah mengkuarantinkan mereka yang datang dari Beijing di mana semua sekolah yang sebelum ini yang kebanyakannya dibuka terpaksa diarah tutup semula dan kembali menjalani kelas secara dalam talian.
Ahad lalu, pegawai Beijing melaporkan terdapat 27 kes Covid-19 baharu kelmarin, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan wabak di ibu kota itu mencapai 106 kes.
Beijing telah melakukan usaha penyahjangkitan di 276 pasar hasil pertanian selain menutup 11 pasar lain semalam. Sebanyak 33,173 penyedia khidmat katering juga telah melakukan penyahjangkitan.
Sebelum ini, pasar Xinfadi, telah dikunjungi 200,000 orang sejak 30 Mei lalu.
Lebih 8,000 pekerja daripada pasar telah diuji dan dihantar ke kemudahan kuarantin.