68.3% dewasa ambil dos penggalak

PUTRAJAYA 21 Mei – Sebanyak 16,077,473 atau 68.3 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak termasuk 2,017 individu yang tampil mendapatkan dos berkenaan semalam.

Setakat semalam juga, sebanyak 22,972,457 atau 97.6 peratus dari kumpulan dewasa telah lengkap dua dos dan 23,248,351 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, seramai 1,099,250 atau 31 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini sudah lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,908,320 atau 93.5 peratus telah lengkap menerima vaksinasi manakala 3,005,192 atau 96.6 peratus daripada kumpulan sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 20,998 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam melibatkan 7,695 dos pertama, 11,286 dos kedua dan 2,017 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,762,530.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak lima kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan dua kes di Johor manakala satu kes masing-masing di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Related posts

Leave a Comment