TH tunggu jawapan panggilan kedua

MARANG 21 Mei – Lembaga Tabung Haji (TH) membuat panggilan kedua selepas lebih 1,000 bakal jemaah musim ini menolak tawaran mengerjakan ibadah itu  disebabkan pelbagai faktor, termasuk masalah kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata  TH sedang menunggu jawapan daripada bakal jemaah yang terpilih.

“Kalau panggilan kedua ada masalah, ada yang tolak, kita akan buat panggilan ketiga,” katanya pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah, di sini semalam.

Kuota haji Malaysia bagi musim 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus diperuntukkan kepada jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada 2019.

Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Sementara itu, Idris meminta bakal jemaah haji Malaysia agar akur dengan beberapa syarat kesihatan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan mereka yang gagal melepasi saringan kesihatan perlu berlapang dada.

Katanya, Malaysia tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk bakal jemaah negara ke Tanah Suci.

“Faktor kesihatan, BMI (Indeks Jisim Tubuh), serius atau tak serius (penyakit), mungkin kita kena meraikan (terima) kerana (itu) pandangan-pandangan mereka (Arab Saudi) dari sudut kesihatan di sana, mereka juga nak mengelak daripada masalah Covid-19.

Di samping itu, faktor  kedua kerana cuaca di sana mungkin agak panas, boleh mencecah hampir 50 darjah Celsius.

Related posts

Leave a Comment