Pergi selepas hasrat terlaksana

GEORGETOWN 21 Mei – Rabu lalu hasratnya ditunaikan dan malam tadi, remaja menghidap kanser Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) tahap akhir, Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, menghembuskan nafas terakhirnya.

Allahyarham Irfan Mikail berusia 15 tahun meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam di rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis.

Khabar duka itu disahkan Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) Maznah Tayib menerusi hantaran di Facebook.

“Telah pulang seorang wira kanser kepada Maha Pencipta sebentar tadi, Muhamad Irfan Mikael Mohd Syukri yang menghembuskan nafas terakhir tepat jam 12.30 malam di kediaman keluarganya di Guar Syed Alwi kangar Perlis.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan syuhada,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Baru-baru ini media melaporkan hasrat remaja berkenaan yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi menaiki pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Rabu lalu, hasratnya ditunaikan TUDM oleh No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan bantuan Kolej Tentera Udara yang mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN.

Irfan Mikail yang diiringi ibu dan bapanya, Mazatul Rohana Saleh, 50, dan Mohd Shukri Talib, 54, serta abangnya Mohd Adam Hakimi, 19, dibawa dari kediaman mereka di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Irfan Mikail turut dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D.

Related posts

Leave a Comment