Jangan selesa dengan pengeluar

INDIA melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta. Satu lagi tindakan serta-merta apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia.

Maknanya sedikit sebanyak makanan berasaskan gandum dan daging akan terjejas. Benar kita ada pilihan negara lain tetapi jika negara berkenaan juga berdepan masalah yang sama, apa jalan keluarnya? Mungkin berlaku lonjakan harga.

Sementara di luar keperluan asas, harga durian kemungkinan naik termasuk musang king yang khabarnya mencecah RM80 sekilogram di seluruh negara pada musim akan datang.  Namun musang king hanya melibatkan keperluan kelompok tertentu.

Tetapi kenaikan harga makanan, sayur-sayuran, daging lembu, kambing, ayam, ikan, tepung, minyak serta keperluan harian lain akan membebankan rakyat seluruhnya.

Punca kekurangan bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga sudah tentulah bergantung kepada pengeluaran. Permintaan mengatasi bekalan atau pengeluaran. Dunia akan berebut makanan apabila punca bekalan berkurangan.

Kekurangan bekalan mungkin disebabkan faktor cuaca, bencana alam, penyakit dan peperangan yang akhirnya memberi kesan kepada kenaikan harga. Jika harga bahan mentah di dalam negara sukar dikawal bagaimana pula yang diimport?

Disebabkan makan untuk hidup atau sebaliknya, eloklah kita selak kembali fakta yang lepas berkaitan makanan ini.

Pada tahun 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion. Lima tahun sebelum itu, nilai import makanan pada 2015 adalah RM45.3 bilion. Maknanya nilai itu terus meningkat.

Malaysia sangat bergantung kepada import bagi daging kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion) untuk memenuhi permintaan domestik. Semua itu kita mampu hasilkan dalam negara.

Lebih daripada 70 peratus daging kambing yang diimport berasal dari Australia sementara mangga, kelapa dan daging lembu masing-masing diimport dari Thailand, Indonesia dan India.

Hakikatnya kita masih ada kawasan yang luas untuk mangga, kelapa dan menternak lembu. Tetapi mangga kita bagaikan hidup segan mati tak mahu, kelapa pula bertaburan di sana sini dan lembu masih berkeliaran di merata tempat.

Dasar kita berkaitan beras, makanan ruji negara ini adalah 70:30, iaitu 70 peratus kita hasilkan dan 30 peratus lagi diimport. Peratusan tempatan cuba dinaikkan kepada 75. Khabarnya Malaysia di tangga ke sembilan pengimport beras dunia.

Apa jadi jika bahan mentah untuk tepung yang dijadikan roti atau apa sahaja disekat kemasukannya?  Apa jadi jika negara pengeluar beras menghentikan eksport? Adakah kita bakal kebuluran?

Tentunya tidak kerana masih ada bekalan tempatan. Tetapi yang merisaukan adakah akan berlaku kenaikan harga? Apabila berlaku kenaikan, sebarang kenaikan gaji atau pendapatan bertambah tidak memberi sebarang makna.

Rakyat kita amat sensitif dengan kenaikan harga lebih-lebih lagi yang pada tanggapan mereka bahan itu boleh dihasilkan di negara sendiri.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga April 2020, sumber import utama beras adalah Vietnam dengan nilai import mencecah RM358.8 juta (46.8%), diikuti India (RM110.9 juta, 14.4%) dan Pakistan (RM102.4 juta, 13.3%).

Benar kita ada Dasar Agromakanan Negara 2.0  atau DAN 2.0 (2021-2030) yang memberi tumpuan kepada empat subsektor utama iaitu padi dan beras, buah-buahan dan sayuran, ternakan serta perikanan.

Namun sejauh mana perancangan dan kejayaannya kelak yang mampu menjamin rantaian bekalan makanan tidak terganggu?

Melihat situasi yang ada – walaupun disebabkan faktor tertentu tetapi realitinya dunia yang semakin ‘tua’ perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Perubahan iklim, peperangan dan wabak penyakit menjejaskan hasil pengeluaran.

Lambat laun negara pengeluar tidak mampu melayani negara lain dan akhirnya akan mendahului keperluan negara sendiri. Apa terjadi jika ketika itu negara pengeksport terpaksa menghentikan eksport mereka?

Bumi kita masih subur. Tanah kita masih luas. Persoalannya adakah tanah sawah masih mampu menampung pengeluaran negara atau kebanyakan sudah bertukar status kepada industri termasuk perumahan.

Di negara kita, masalah berkaitan bekalan makanan berulang setiap masa. Masalah yang kita hadapi adalah berkaitan harga. Perlu ada subsidi di sana sini. Ada ketikanya bekalan melebihi permintaan sehingga pengeluar mengalami kerugian.

Diharapkan isu bekalan melebihi permintaan dapat diatasi dengan baik dan rakyat pula perlu lebih bersedia dengan sebarang kenaikan akibat masalah global yang menjejaskan pengeluaran bahan makanan dunia. Bersedia menghadapi realiti.

Tumpuan kita perlu ke arah menyediakan bekalan makanan yang mencukupi dan pada masa yang sama mengurangkan import. Kerajaan sedar tanggungjawab ini tetapi kebanyakan daripada kita masih selesa dengan layanan negara pengeluar.

Related posts

Leave a Comment