KUALA LUMPUR 28 Mac – Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin sebanyak 130,000 ketua isi rumah miskin tegar akan dapat ditangani dan dinoktahkan pada tahun ini.
Katanya, setakat 15 Mac lalu, sebanyak 123,243 ketua isi rumah miskin tegar sudah dapat dikenal pasti oleh kerajaan untuk dibantu.
“Bagaimanapun, saya sengaja letakkan jumlah sebanyak 130,000 ketua isi rumah ini kerana kemungkinan jumlahnya akan bertambah. Jika ikut keupayaan jabatan kita mampu menangani dan menoktahkan (isu miskin tegar),” katanya.
Beliau menjawab soalan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat yang ingin tahu pendekatan terbaru dan kemajuan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik.
Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan sudah membangunkan sistem e-Kasih sebagai pangkalan data kemiskinan nasional di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) yang bertujuan mendaftarkan golongan miskin di negara ini berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Katanya, sistem itu menjadi rujukan kepada semua agensi pemberi bantuan yang terbabit dalam program pembasmian kemiskinan dengan mengakses data atau maklumat kemiskinan yang sama di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Beliau berkata, dengan data itu, kerajaan berusaha menoktahkan kemiskinan melalui program diselaraskan menerusi dua pendekatan iaitu meningkatkan pendapatan rakyat miskin dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan mengurangkan beban kos sara hidup melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Bagi IPR, sebanyak RM750 juta diperuntukkan di bawah tiga inisiatif diperkenalkan iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
“Selain itu sebanyak 400,000 bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang mudah terjejas, subsidi, bantuan serta insentif sebanyak RM64 bilion serta pelaksanaan konsep Payung Rahmah,” katanya.
Bagi mengurangkan beban kos sara hidup, Anwar berkata, kerajaan akan meneruskan bantuan berdasarkan keperluan kepada kumpulan sasar iaitu STR yang diberikan kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.
Pembayaran Fasa 1 STR dilaksanakan pada 17 Januari lalu membabitkan 8.7 juta penerima dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.67 bilion, manakala bagi Fasa 2 STR, ia akan dilaksanakan pada 5 April ini iaitu di pertengahan bulan Ramadan.
“Setakat hari ini, hampir 574,886 permohonan baharu diterima dan mereka yang ingin membuat permohonan boleh dibuat sehingga 31 Mac ini,” katanya.
