Brunei Darussalam catat 300 kes

BERAKAS 18 Mei  – Brunei Darussalam hari ini mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 apabila merekodkan 300 kes baharu berbanding 265 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan setakat ini 145,521.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 298 adalah hasil Ujian ART dan dua kes lagi hasil daripada 343 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 5, dan Kategori 4.

Katanya, sebanyak 182 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 143,477 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,823  kes, iaitu 13 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,810 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 268 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 32,640 atau 76.1 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 947 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 11,882 atau 27.7 peratus manakala 68.8 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment