Muhyiddin nafi ada kaitan dengan MYAirline

KUALA LUMPUR 18 Okt. –  Muhyiddin Yassin, menafikan beliau mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), yang menghentikan operasi secara mengejut baru-baru ini selepas beberapa bulan beroperasi.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak mempunyai kaitan dengan pemegang saham, malah tiada pengetahuan mengenai latar belakang syarikat penerbangan berkenaan.

Katanya, kelulusan pengoperasian MYAirline itu juga bermula selepas beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

“Saya dapati ada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan kemelut yang melibatkan syarikat penerbangan MYAirline.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan langsung dengan syarikat penerbangan ini atau mana-mana pemegang saham syarikat. Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat ini.

“Carian saya menunjukkan bahawa syarikat ini mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021 iaitu semasa saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” kata Presiden Bersatu itu dalam satu kenyataan.

Muhyiddin berkata, pembabitan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirline tidak boleh dikaitkan dengan dirinya.

“RDS sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya,” katanya.

Beliau percaya terdapat pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baiknya dengan membuat tuduhan jahat kononnya beliau terbabit dengan syarikat ini.

“Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” katanya.

MYAirline baru-baru ini mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa Khamis lalu, sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Related posts

Leave a Comment