Singapura catat 2,664 kes baharu

SINGAPURA 17 Mei – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 2,664 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini yang terdiri daripada 2,602 jangkitan tempatan dan 62 kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,247,671 dengan individu yang meninggal dunia pula meningkat kepada 1,367 orang termasuk satu kematian yang direkodkan hari ini.

Sebanyak 2,366 kes baharu Protokol 2 direkodkan iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Kes terdiri daripada 2,320 jangkitan tempatan dan 46 kes import sementara 298 kes disahkan menerusi ujian PCR yang terdiri daripada 282 jangkitan tempatan manakala 16 adalah kes import.

Sementara itu kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.03, jatuh berbanding 1.32 semalam (16 Mei).

Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya. Kadar di bawah 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin merosot.

Sebanyak 275 pesakit masih dirawat di hospital, berbanding 278 semalam di mana 36 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, lapan dipantau rapi di ICU manakala 3,332 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat semalam, sebanyak 96 peratus penduduk Singapura layak divaksin di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment