Brunei Darussalam catat 265 kes

BERAKAS 17 Mei  – Brunei Darussalam hari ini mencatatkan sedikit penurunan kes harian Covid-19 apabila merekodkan 265 berbanding 294 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 145,221.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Abu Bakar Apong berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 261 adalah hasil Ujian ART dan empat kes lagi hasil daripada 370 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap mewakili Menteri Kesihatan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 5, dan Kategori 4.

Katanya, sebanyak 235 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 143,295 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,705 kes, iaitu 13 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,692 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 439 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 32,372 atau 75.4 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,010 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 10,935 atau 20.5 peratus manakala 68.6 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment