Indonesia longgar pelitup muka

JAKARTA 17 Mei – Presiden Indonesia Joko Widodo malam ini mengumumkan bahawa pelitup muka tidak lagi diperlukan di luar rumah atau di kawasan terbuka yang tidak sesak berikutan pandemik Covid-19 yang semakin terkawal.

Melalui ucapan di saluran YouTube presiden, Jokowi juga memaklumkan pelawat yang sudah lengkap divaksin tidak lagi dikehendaki untuk menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 apabila tiba di negara tersebut. 

“Pelawat domestik dan antarabangsa yang sudah lengkap divaksin tidak lagi perlu menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) atau swab antigen,” katanya.

Mengenai pelitup muka, Jokowi menjelaskan orang ramai masih perlu memakainya untuk aktiviti dalaman (tertutup) dan pengangkutan awam.

Jokowi bagaimanapun mengingatkan golongan masyarakat yang terdedah, warga tua, atau mempunyai penyakit komorbid, supaya terus memakai pelitup muka ketika melakukan aktiviti.

“Begitu juga bagi mereka yang mengalami gejala batuk dan selesema, masih perlu menggunakan mask ketika melakukan aktiviti,” katanya.

Indonesia baru-baru ini melaporkan antara 200 hingga 400 kes harian Covid-19, jauh lebih rendah berbanding kemuncak gelombang keduanya pada Mac dengan lebih 50,000 kes setiap hari. 

Setakat ini, lebih enam juta orang di Indonesia dijangkiti Covid-19 sejak pandemik bermula dengan lebih 156,000 kematian dicatatkan.

Sementara itu, sebanyak 61 peratus, daripada 270 juta penduduk di Indonesia, atau 166 juta orang sudah lengkap divaksin. 

Related posts

Leave a Comment