Kes denggi meningkat

PUTRAJAYA 5 Mei – Kementerian Kesihatan merekodkan 1,021 kes denggi pada minggu 17/2022, iaitu peningkatan 54 kes atau 5.6 peratus daripada sebanyak 967 kes minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes denggi sehingga kini 12,942 kes, berbanding 9,270 kes bagi tempoh sama pada 2021, membabitkan peningkatan sebanyak 3,672 kes atau 39.6 peratus.

“Sebanyak tujuh kematian akibat denggi dilaporkan sehingga Minggu Epid 17/2022, peningkatan sebanyak dua kematian atau 40 peratus, berbanding dengan lima kematian bagi tempoh sama pada 2021.

Penyakit denggi penyakit jangkitan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti. Pesakit boleh mengalami gejala seperti demam, ruam merah di kulit, sakit kepala, sakit pada bahagian belakang mata, sakit sendi, sakit otot, pendarahan di bawah kulit, hidung, dan gusi,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai hendaklah memastikan kawasan kediaman bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan membersih atau melupus bekas yang boleh menakung air.

Katanya, mereka juga disaran memastikan saliran atap sentiasa mengalir, tangki air, dan bekas tadahan air sentiasa ditutup atau ditaburkan racun atau bahan pembunuh jentik-jentik.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan menggunakan bahan repelan untuk mencegah gigitan nyamuk Aedes, apabila berada di luar rumah.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan pengamal perubatan supaya melakukan kiraan darah penuh pada hari ketiga, sekiranya pesakit mengalami demam berterusan.

Beliau berkata, sekiranya pesakit disyaki menghidapi demam denggi berdasarkan ciri klinikal dan ujian darah, mereka perlu diberikan ‘dengue alert card’ dan melakukan ‘dengue combo test’.

Related posts

Leave a Comment