Somad didakwa sebar ajaran ekstremis

SINGAPURA 17 Mei – Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengesahkan Abdul Somad Batubara, pendakwah Indonesia yang tiba di sini semalam  (Isnin 16 Mei) dilarang masuk dan dihantar pulang ke Batam pada hari yang sama. 

MHA dalam satu kenyataan malam ini sebagai respons kepada pertanyaan media memaklumkan enam orang lagi yang bersamanya juga dilarang masuk sejurus  tiba di Terminal Feri Tanah Merah.

Menurut MHA, sebaik tiba di terminal dari Batam, Indonesia, Ustaz Abdul Somad telah ditemu bual.

Berikutan temu bual itu, beliau bersama enam yang lain tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang ke Batam dalam sebuah feri pada hari yang sama.

“Somad telah diketahui menyebarkan ajaran ekstremis dan pengasingan, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.

“Sebagai contoh, Somad telah berdakwah bahawa pengeboman nekad adalah sah dalam konteks konflik Israel-Palestin, dan dianggap sebagai operasi “syahid”,” kata MHA.

Beliau juga telah membuat komen yang memburukkan ahli masyarakat agama lain, seperti Kristian, dengan menggambarkan salib Kristian sebagai tempat kediaman “jin kafir (roh/syaitan)”.

Selain itu, Somad secara terbuka didakwa menyebut orang bukan Islam sebagai “kafir”.

Kementerian tersebut menegaskan bahawa kemasukan pelawat ke Singapura “bukan automatik mahupun hak” dan setiap kes dinilai berdasarkan haknya tersendiri.

“Walaupun Somad cuba memasuki Singapura bagi lawatan sosial, pemerintah Singapura memandang serius mana-mana orang yang menyokong keganasan dan/atau menyokong ajaran ekstremis dan pengasingan.

Sebelum itu, pendakwah tersebut menyatakan dalam akaun media sosialnya bahawa beliau telah dihantar pulang oleh Imigresen Singapura ketika mahu bercuti bersama keluarga dan rakan-rakannya pada Isnin.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram menunjukkan beliau mengenakan topi di kepala dan pelitup muka kelihatan seperti berada di dalam bilik yang berwarna putih dan berbumbungkan penutup besi.

“Itu yang mereka tak boleh jelaskan. Kakitangan Imigresen tak boleh jelaskan, jadi mungkin Duta Besar Singapura di Jakarta boleh jelaskan. Anda kena jelaskan kepada masyarakat. Kenapa anda, kerajaan anda menolak kedatangan kami? Kenapa kerajaan anda hantar pulang kami? Kenapa? Adakah kerana (kami) pengganas. Apakah kerana ISIS? Apakah kerana membawa dadah? Persoalan berkenaan harus anda jelaskan,” kata UAS dalam video di saluran YouTube Rasmi Hai Guys pada Selasa.

Related posts

Leave a Comment