Bersatu tanding 10 kerusi BN

MARANG 16 Mei – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri mengumumkan untuk meletakkan calonnya di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Razali Idris berkata, pihaknya juga akan meletakkan calonnya bertanding di kerusi Parlimen Besut, selain mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Beliau berkata, melalui perbincangan pengagihan kerusi, Pas bersetuju menyerahkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dikuasai BN kepada Bersatu.

Katanya, senarai calon untuk 10 kerusi DUN telah diserahkan kepada Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk dianalisis.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu bahagian Marang di Kampung Rhu Muda, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam PRU-14 lalu, BN memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.

Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang berkata, senarai calon daripada Bersatu itu juga diserahkan kepada pimpinan Pas negeri untuk dianalisis.

Related posts

Leave a Comment