Bersatu belum pasti calon Bagan Serai

IPOH 16 Mei – Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), belum membuat sebarang keputusan siapa yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru hasrat Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk bertanding di Parlimen itu hanya bersifat peribadi dan tidak melibatkan parti.

Setiausaha Bersatu Perak, Zainol Fadzi Paharuddin dilaporkan berkata, pengumuman hasrat untuk bertanding di mana-mana tempat merupakan perkara biasa setiap kali menjelang PRU.

“Memanglah masing-masing ada merasakan kelayakan untuk bertanding di sini, di situ dan akhirnya yang buat keputusan pimpinan tertinggi parti,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak di sini, hari ini.

Pada Sabtu, Wan Ahmad Fayhsal memberi bayangan mahu bertanding di Parlimen Bagan Serai pada PRU15.

Menurutnya, Parlimen Bagan Serai antara kerusi yang berpotensi untuk beliau bertanding selain di Kelantan, namun, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

“Dari segi kecenderungan, sememangnya saya memberi fokus untuk berada di sini selain daripada Kelantan yang juga kawasan berpotensi saya untuk bertanding.

“Tapi terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti kerana siri-siri rundingan masih belum selesai antara Pas, Bersatu dan Gerakan,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tersusun Jalan Gula Simpang Ampat, Semanggol.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau  juga menghormati pendirian Dewan Pemuda Pas dan Dewan Muslimat Bagan Serai yang telah menghantar memorandum kepada pimpinan mereka mendesak Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada Pas untuk bertanding Parlimen Bagan Serai.

Pada PRU lalu, BN melalui calon UMNO menang kerusi itu dengan majoriti 172 undi mengalahkan calon Pas dan Bersatu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan Serai itu, kini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Noor Azmi Ghazali meninggalkan UMNO untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan lima bulan kemudian menyertai Bersatu pada November 2018.

Related posts

Leave a Comment