Amanah Pulau Pinang mahu 7 kerusi

TASEK GELUGOR 16 Mei – Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang memutuskan untuk bertanding di dua kerusi Parlimen serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad, berkata keputusan itu dipersetujui melalui perbincangan dengan sekretariat Pakatan Harapan (PH).

“Kita putuskan untuk bertanding di dua Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan Kepala Batas, manakala lima kerusi DUN iaitu Sungai Dua, Permatang Berangan, Penaga, Permatang Pasir dan Bayan Lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Parlimen Tasek Gelugor, di sini, malam tadi.

Pada PRU lalu, Amanah bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO manakala  seorang lagi calon yang tewas adalah dari Pas.

Bagi kerusi Tasek Gelugor pula, berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan calon BN (UMNO), Bersatu dan Pas yang memihak kepada BN yang menang majoriti 81 undi. Bagaimanapun wakil BN melompat menyertai Bersatu.

Di peringkat DUN, Amanah bertanding di tiga kerusi dan menang dua iaitu di Permatang Pasir dan Bayan Lepas tetapi tewas di Sungai Dua kepada calon BN (UMNO).

Kerusi DUN Permatang Berangan ketika ini diwakili BN dalam pertandingan melibatkan Pas, Bersatu dan PRM manakala kerusi Penaga dimenangi calon Pas dalam pertandingan dua penjuru melibatkan calon BN (UMNO).

Sementara itu, Presidennya, Mohamad Sabu, berkata Amanah mahu bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-15 tetapi jumlahnya belum diputuskan kerana rundingan pembahagian kerusi di antara PH pada peringkat pusat baru bermula.

“Apa yang paling penting bagi kita, nak capai kemenangan,” katanya selepas majlis pelancaran itu.

Ditanya sama ada kemungkinan berlakunya pertindihan kerusi sesama parti pembangkang pada PRU-15 seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, Mohamad berkata, perkara itu boleh diatasi dengan rundingan.

“Apa yang penting sekarang ialah kita nak turun untuk uar-uarkan supaya orang keluar mengundi kerana berdasarkan dua PRN yang lalu (Melaka dan Johor), peratus yang keluar mengundi itu amat kecil.

“Kita kena yakinkan rakyat sistem demokrasi berparlimen mesti dipulihkan antaranya melaksanakan Akta Anti-Tukar Parti,” katanya.

Pada PRU-14 lalu, Amanah bertanding di 34 kawasan Parlimen dan 119 kerusi DUN di mana 11 kerusi Parlimen dimenangi parti itu membabitkan Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Johor.

Related posts

Leave a Comment