Mohon batal langkah vaksinasi ditolak

SINGAPURA 17 Jun – Mahkamah Tinggi menolak permohonan aktivis politik, Han Hui Hui dan lagi lima individu lain, untuk membatalkan langkah-langkah berkaitan vaksin Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Permohonan itu termasuk permintaan agar mahkamah mengisytiharkan sebahagian arahan kerajaan sebagai “menyalahi undang-undang” atau “tidak munasabah”.

Menerusi pengadilan Hakim Singh Gill yang diterbitkan semalam, 16 Jun, beliau menolak hujah-hujah yang dikemukakan pemohon, sambil menambah statistik yang dipetik mereka tidak betul dan berdasarkan “anggapan yang tidak jelas”.

Para pemohon mahu membatalkan makluman kerajaan bahawa majikan boleh memberhentikan kakitangan yang memilih untuk tidak divaksin.

Mereka juga memohon untuk membatalkan “arahan” daripada Kementerian Kesihatan (MoH) yang menyatakan bahawa pesakit Covid-19 yang memilih untuk tidak divaksin harus membayar penuh kos bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Pada Oktober lalu, pihak berkuasa menyatakan majikan boleh memberhentikan pekerja mereka sebagai langkah akhir, jika aturan kerja alternatif tidak dapat dilaksanakan.

Ia juga mengumumkan bahawa mulai 8 Disember 2021, semua pesakit Covid-19 yang memilih untuk tidak divaksin harus membayar penuh bil perubatan mereka jika mereka dimasukkan ke hospital atau ke kemudahan-kemudahan rawatan Covid-19.

“Saya mendapati (pasukan bertindak berbilang kementerian) dan MoH mengambil langkah yang betul berdasarkan sebab-sebab wajar yang disokong oleh bukti-bukti objektif. Mereka tidak gagal dalam mengambil kira pertimbangan relevan mahupun yang tidak relevan,” kata Hakim Gill.

Menurut beliau lagi, pasukan bertindak berbilang kementerian dan Kementerian Kesihatan mempertimbangkan kajian-kajian bebas klinikal yang mengesahkan keberkesanan vaksin dan menimbangkan keadaan dengan menyokong langkah “memberi galakan menerusi insentif” kepada yang mengambil vaksinasi demi mengurangkan risiko terhadap masyarakat.

Hakim Gill juga berkata jika pemohon berhujah bahawa mereka yang memilih untuk tidak divaksin perlu terus menerima subsidi penuh bagi bil perubatan mereka sekiranya dijangkiti Covid-19, ia bukan “perkara untuk diputuskan mahkamah”.

Selain Han, lima pemohon lain ialah Sng Su Hui, Yeo Sheau Yuen, Lim Beng Kwang, Lawrence Simon Anthony dan Muhammad Faizal Mustafa.

Semua enam pemohon itu diwakili peguam dan ahli politik pembangkang, Lim Tean.

Related posts

Leave a Comment