Asnaf gembira ditawar umrah percuma Andalusia

SEPANG 24 Sept.  – Semalam di KLIA ketika mundar mandir dalam kalangan jemaah asnaf yang terpilih mengerjakan umrah, saya disapa oleh seseorang : “ Datuk kerja Andalusia?” Agak kesipuan juga saya mendengar pertanyaan itu.

Lebih ‘terharu’ katanya, beliau sering nampak kelibat saya di pasar malam Bandar Seri Putra dan lelaki itu lantas memperkenalkan dirinya yang berniaga di pasar itu, jual susu lembu segar hasil ternakan secara kecil-kecilan.

Saya menjelaskan kepadanya, bahawa saya bukan petugas Abdalusia, tapi sering hadir program melibatkan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd ( Andalusia)

Berbual panjang tanpa sempat mencatatkan namanya beliau yang hadir bersama keluarga di KLIA memaklumkan tinggal di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, dan menjadi salah seorang asnaf yang terpilih menunaikan umrah.

Alhamdulillah, syukur kerana terpilih menyertai umrah asnaf bersama Andalusia yang sebelum ini berkongsi rezeki dengan membawa ramai asnaf, orang kurang upaya, anak-anak muda dan sebagainya menunaikan umrah secara percuma.

Beliau sebenarnya memang tidak menduga terpilih dalam kalangan 20 orang asnaf di bawah seliaan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi untuk mengerjakan ibadah umrah secara percuma yang ditawarkan Andalusia.

“Saya terima panggilan kira-kira dua minggu lalu ketika sedang memerah susu lembu,” katanya yang pada ketika itu dalam keadaan serba salah sama ada mahu melayan panggilan itu atau sebaliknya.

Nasibnya baik apabila memilih menjawab panggilan itu dan ternyata ia membawa khabar yang menggembirakan.

“Jika tak jawab panggilan, mungkin terlepas peluang itu,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak atas pemilihan itu dan berharap dapat menyempurnakan ibadah umrah itu.

Hadir di KLIA semalam untuk mengucapkan selamat berangkat adalah Pengurus Andalusia Bangi, Fatin Aalia Ibrahim, dan Pengurus Andalusia Putrajaya Mohd Nor Hanafie.

Semua asnaf nampak ceria dengan ditemani seorang mutawif dan istimewanya kumpulan ini, mereka juga akan singgah ziarah untuk seketika di Abu Dhabi.

Sebelum ini, pada malam menjelang 31 Ogos lalu, Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin mengumumkan syarikatnya bersedia menawarkan 20 pakej umrah percuma kepada Masjid Al-Hasanah.

Tawaran itu sebagai menghargai kerjasama pihak masjid yang menjadi tuan rumah Karnival Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) Bangi.

“Untuk masjid saya bagi 20 pakej umrah serentak terbang September untuk asnaf yang berdaftar di masjid. Saya amanahkan kepada masjid mencari asnaf yang layak dan tidak pernah pergi umrah.

“Kedua saya mewakilkan masjid untuk mengagihkan zakat wakalah saya sebanyak RM100,000 kepada asnaf yang layak,” katanya pada pengumuman itu.

Ibrahim turut mengumumkan lima pakej umrah tambahan menerusi cabutan bertuah khusus untuk pengunjung Karnival JIMBA, berbanding pada asalnya hanya satu pakej umrah sebagai hadiah cabutan bertuah di samping barangan elektrik.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment