SEPANG 24 Sept. – Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mendakwa kemelut yang melanda institusi adat dan raja di negeri itu ketika ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya ia isu terasing yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Katanya, kegagalan kepemimpinan terdahulu menyempurnakan tanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menyebabkan isu itu berlarutan hingga menjadi semakin parah.
Beliau turut menepis dakwaan kononnya kerajaan negeri atau Menteri Besar mempunyai kuasa untuk ‘menurunkan’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan adalah unik dan berasaskan Adat Perpatih serta Undang-Undang Tubuh Negeri.
“Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau kerajaan negeri. Peranan itu terletak di bawah bidang kuasa Undang Yang Empat serta Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Justeru, tidak benar sama sekali untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri ada kuasa secara unilateral dalam menentukan kedudukan takhta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, beliau kesal apabila timbul percubaan untuk menggambarkan pertikaian yang berlaku ini sebagai penentangan antara kerajaan negeri dan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau berkata, isu sebenar yang perlu diselesaikan adalah mengenai pertikaian proses, bidang kuasa dan tafsiran terhadap tindakan institusi adat berkenaan yang sepatutnya diselesaikan menerusi saluran rasmi adat dan Undang-Undang Tubuh, bukannya menerusi tuduh-menuduh di ruang awam.
Susulan itu, katanya, semua pihak perlu menghormati mandat demokratik rakyat yang memilih kerajaan negeri.
“Menghormati institusi raja dan adat tidak bermakna menafikan fungsi kerajaan negeri yang sah untuk mentadbir serta menjaga kebajikan rakyat.
“Pada masa sama, semua pihak juga wajib menghormati mandat rakyat Negeri Sembilan yang sudah memilih kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga.
“Mandat rakyat ini bukan sekadar angka di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia membawa bersamanya tanggungjawab dan kuasa eksekutif untuk mentadbir negeri, melaksanakan dasar, mengurus jentera pentadbiran serta menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat Negeri Sembilan, ” katanya.
Ismail berkata, agensi atau pihak berkuasa pada peringkat Persekutuan diingatkan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai campur tangan atau mengambil alih bidang kuasa mutlak Negeri Sembilan.
”Prinsip federalisme yang sihat menuntut sempadan kuasa masing-masing dihormati. Kerjasama Persekutuan dan negeri mesti berasaskan hormat-menghormati, bukannya tekanan atau percubaan mengatasi bidang kuasa,” katanya.
Mengulas isu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Ismail berkata, penjawat awam wajib kekal profesional dan berkecuali tanpa berpihak dalam mana-mana pertikaian politik atau institusi.
Katanya, sebarang persoalan mengenai kedudukan mereka perlu diselesaikan menerusi proses undang-undang dan pentadbiran.
“Kemelut ini perlu diselesaikan mengikut Adat Perpatih menerusi institusi berautoriti seperti Undang Yang Empat dan DKU.
”Dalam menghadapi saat mencabar ini, kita perlu kembali kepada falsafah Negeri Sembilan sendiri iaitu ‘biar mati anak, jangan mati adat’.
“Adat perlu dipertahankan, perlembagaan dijunjung, mandat rakyat dihormati dan institusi dipelihara,” katanya.
(LIHAT KENYATAAN PENUH Biar mati anak jangan mati adat)
