PAU Khas lulus pindaan

KUALA LUMPUR 15 Mei – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Usul diluluskan sebulat suara oleh 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dengan kelulusan itu, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Terdahulu, draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO itu dibentangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO.

Usul pindaan itu antara lain berbunyi – “Menggesa pindaan perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) persekutuan dilaksanakan.

Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan.

Ketika memulakan PAU Khas, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan menyatakan persidangan itu diadakan seiring ketetapan di bawah Fasal 8.5 dan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan sudah dipersetujui dalam mesyuarat MKT, 14 April lalu.

Sejak 1990 sehingga kini, UMNO sudah melakukan sebanyak tiga kali pindaan perlembagaannya, berkait dengan soal pemilihan parti.

Pada 1987, Presiden UMNO ketika itu mencadangkan, supaya parti memperkenalkan sistem 10 undi bonus, bagi setiap pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Kemudian, pada 1998, perlembagaan UMNO dipinda lagi, dengan memperkenalkan sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti.

Kali terakhir dipinda pada 2009, dengan membuka ruang pemilihan lebih luas, apabila kuasa memilih tidak lagi terletak di tangan 2,510 perwakilan sewaktu PAU, namun diperluas ke peringkat perwakilan bahagian, membabitkan seramai 146,500 orang.

Cadangan pindaan perlembagaan UMNO bagi melanjutkan tempoh pemilihan parti itu, sebelum ini dibawa Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2021, Mac lalu.

Kemudian, MKT menerima usul pindaan itu pada mesyuarat 18 Mac lalu untuk dibawa ke PAU 2021, seterusnya diluluskan perwakilan pada 19 Mac lalu.

Related posts

Leave a Comment