Singapura siap proses jemaah haji

SINGAPURA 13 Mei – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berjaya memproses 407 tempat bagi jemaah yang terpilih menunaikan haji tahun ini.

Dalam kenyataannya, MUIS memaklumkan kesemuanya telah berdaftar dengan ejen penjualan pakej haji dan telah membuat bayaran bagi pakej haji pilihan mereka.

MUIS kini sedang berusaha untuk mendapatkan visa haji mereka dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Secara keseluruhannya, ia satu proses amat lancar dengan jemaah haji yang berjaya diberikan tempat haji mengikut syarat dan keperluan bagi Haji 2022 dan juga tempat dalam Sistem Pendaftaran Awal Haji (AHRS) Muis,” kata MUIS.

Awal bulan ini, MUIS telah memberikan surat tawaran rasmi Haji 2022 kepada kesemua jemaah Singapura yang layak.

Jumlah 407 jemaah itu merupakan 45 peratus daripada kuota rasmi negara sebanyak 900 jemaah sebelum ini terdiri daripada mereka yang sepatutnya melakukan ibadah haji pada 2020.

Mereka berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu selepas memenuhi syarat baru yang ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah kerajaan Arab Saudi termasuk memenuhi kriteria usia di bawah 65 tahun dan sudah divaksin penuh.

Related posts

Leave a Comment