Singapura tawar vaksin Nuvaxovid

SINGAPURA 13 Mei – Vaksin Nuvaxovid Covid-19 keluaran Novavax boleh ditempah mulai hari ini bagi individu berusia 18 tahun ke atas yang boleh menerima vaksinasi termasuk suntikan penggalak.

Warga Singapura boleh mendapatkan suntikan tersebut di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) Bishan di bekas tapak Sekolah Menengah Bishan Park, atau mana-mana 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang mengambil bahagian.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya berkata,  PHPC akan menawarkan vaksin Nuvaxovid bermula 18 Mei 2022 sementara JTVC Bishan akan menawarkannya bermula 24 Mei 2022.

 Mereka yang berminat mendapatkan vaksin tersebut boleh mendaftar di vaccine.gov.sg.

 MoH berkata, SMS dengan pautan tempahan peribadi akan dihantar kepada nombor telefon berdaftar bagi individu membuat janji temu di Sistem Janji Temu Nasional dan mereka yang mempunyai SMS sedia ada boleh menggunakan pautan yang diberikan.

 Jawatankuasa Pakar Vaksinasi Covid-19 mengesyorkan individu berumur 18 tahun ke atas boleh menerima vaksin Nuvaxovid untuk siri utama atau vaksin penggalak, walaupun vaksin mRNA kekal sebagai vaksin pilihan kerana keberkesanannya yang lebih tinggi dan tindak balas imun yang lebih kuat yang dihasilkan.

 Menurut MoH, mereka yang tidak layak secara perubatan untuk menerima vaksin mRNA harus mempertimbangkan Nuvaxovid.

Related posts

Leave a Comment