Kes harian meningkat lagi

PUTRAJAYA 13 Mei – Jumlah kes harian Covid-19 meningkat lagi semalam dengan merekodkan 3,410 kes berbanding 3,321 kelmarin yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,470,471

Kes harian meningkat melepasi 3,000 kelmarin selepas tiga hari berturut-turut merekodkan lebih 2,000 kes iaitu 2,153; 2,246 dan 2,605.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, kes baharu membabitkan 3,405 penularan tempatan dan lima lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dengan kes aktif 1,976 yang membawa kepada 26,826 kes.

Daripada jumlah kes aktif itu, 94.7 peratus atau 25,414 sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, 1,328 kes mendapatkan rawatan di hospital di mana 17 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang tidak memerlukan alat bantuan pernafasan dan 34 kes lagi di ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan serta 33 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Selangor terus menjadi negeri tunggal mencatatkan kes baharu empat angka iaitu 1,691 kes berbanding 1,220 kes kelmarin diikuti Kuala Lumpur 453 kes dan Perak 199 manakala kes terendah 10 kes masing-masing di Perlis dan Labuan.

Semalam juga 1,430 kes sembuh dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah individu yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 ialah 4,408,043 kes.

Dalam pada itu, empat kes kematian dilaporkan semalam menjadikan jumlah angka korban kini meningkat kepada 35,602 kes.

Related posts

Leave a Comment