Cacar monyet pertama di Vietnam

HANOI 5 Okt. – Vietnam mengesan kes cacar monyet pertama selepas mendapati seorang wanita berusia 35 tahun yang menetap di bandar Ho Chi Minh dikesan dijangkiti wabak berkenaan.

Wanita itu mula berdepan masalah kesihatan pada 18 September lalu ketika melawat Dubai.

Dia mengalami gejala demam, keletihan, kesejukan, sakit otot, sakit kepala dan batuk, selain bengkak kemerahan serta gatal pada lengan, badan dan muka, sebelum pulang ke Vietnam pada 22 September lalu.

Pada hari berikutnya, iaitu 23 September lalu, wanita itu dimasukkan ke Hospital Tu Du di Ho Chi Minh sebelum dipindahkan ke Hospital Dermato Venereologi untuk menjalani rawatan dan pengasingan.

Dua hari kemudian, beliau disahkan positif cacar monyet dan dipindahkan ke Hospital Penyakit Tropika untuk terus menjalani rawatan, pengasingan dan penjujukan genom.

Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan wanita berkenaan berada dalam keadaan stabil ketika ini tanpa demam.

Related posts

Leave a Comment