AstraZeneca lulus pendaftaran bersyarat

PUTRAJAYA 2 April – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-355 hari ini meluluskan pendaftaran secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana produk vaksin Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran vaksin itu dilaksanakan melalui mekanisme perakuan (recognition) ke atas kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kelulusan EUL bagi vaksin keluaran AstraZeneca-SK Bioscience telah diumumkan oleh WHO pada 15 Februari 2021.

Kelulusan ini memerlukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau dan menilai data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin ini kekal positif.

Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment