Singkirkan kepura-puraan dalam UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mei – UMNO perlu terus menjadikan pentas wacana sebagai platform diskusi serta mendengar sebarang teguran daripada semua pihak termasuk pemegang taruh dan rakyat, kata Timbalan Presiden, Mohamad Hassan.

Beliau berkata usaha itu perlu bagi memulihkan semula parti yang menjangkau usia 76 tahun itu agar kekal relevan dan diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegas beliau, jangan hanya perlu menunggu kehadiran tarikh 11 Mei yang bersamaan dengan ulang tahun penubuhan UMNO untuk berikrar memperkasakan parti dengan menyusun strategi, memperbaiki kelompongan dan kelemahan parti.

“(UMNO) mesti membuka telinga, minda kita kepada apa juga kritikan teguran dan pandangan daripada semua pihak untuk kita perbaiki dan untuk kita perkasakan semula UMNO dan menyusun strategi parti untuk terus relevan dengan masa,” katanya.

Mohamad berkata demikian semasa merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ sempena ulang tahun ke-76 UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Sesi wacana itu disertai oleh Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan; Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Dr Raduan Che Rose; Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO terus digerakkan dalam usaha menjadi benteng kepada rakyat terutama ketika melangkah ke PRU15.

“Jangan kita berbincang sesama sendiri, mesti dibuat macam ini (wacana) bawa semua orang pemegang taruh, NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Profesor, belia dan siapa sahaja yang ingin menyumbang nak melihat supaya UMNO supaya parti besar dan dominan terus relevan dan akan terus menjadi parti boleh dijadaikan sebagai asas kepada pentadbir negara.

“Oleh sebab itu saya sebut tadi, jangan kita syok sesama sendiri, buka telinga, buka minda kita, jangan kita buat UMNO seperti sebuah parti yang pegun,” jelasnya lagi.

Beliau juga menarik perhatian mengenai situasi hari ini bahawa di luar sana, UMNO dilihat semakin senja dan menua, serta tidak lagi dilihat secocok dengan zaman.

“Pada pandangan banyak pihak, kita terpisah jauh, dari imaginasi generasi Malaysia pasca moden, apa tah lagi kemajuan zaman. Kita terus terperangkap dengan kegemilangan lalu, yang terhasil dalam konteks dan cabaran yang jauh berbeza, dengan realiti hari ini,” katanya.

Justeru katanya, beranilah kepada parti ini, singkirkan segala kepura-puraan untuk menjadikan UMNO ini lebih baik.

Pancaindera UMNO katanya mesti diasah untuk menelan yang pahit, melihat yang lemah dan jelek, serta menghidu yang busuk dan meloyakan.

“Kerana ia telah terlalu lama dibuai dengan nafsu yang serakah, halwa telinga yang mengasyikkan, dan pujian yang tidak ikhlas dan benar. Justeru, gunakanlah wacana seperti ini, untuk memberikan perspektif realiti yang sebenarnya kepada UMNO,” katanya.

Related posts

Leave a Comment