Notis gantung aktiviti PN bukan dibatal

SEPANG 24 Sept. – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan mengeluarkan notis bagi meminta Perikatan Nasional (PN) memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada jabatan itu.

Susulan notis itu, semua kegiatan PN kini digantung, berkuat kuasa semalam, dan ia bukannya notis pembatalan pendaftaran.

Dalam satu kenyataan, hari ini, RoS memaklumkan perintah penggantungan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.

Katanya, notis terbabit meminta PN memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada jabatan itu.

“RoS telah mengeluarkan notis mengikut Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 22 September 2026, dan suatu tempoh munasabah diberikan kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.

Notis itu bertujuan meminta PN memberi penjelasan berkenaan aduan dilaporkan Bersatu kepada RoS, dan notis itu bukan keputusan pembatalan pendaftaran.

Susulan notis itu, RoS juga mengeluarkan perintah penggantungan mengikut Subseksyen 13(2A) Akta 832 yang menggantung semua kegiatan PN, berkuat kuasa 23 September 2026,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, perintah penggantungan itu bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.

“RoS menyeru semua pihak agar merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh jabatan ini, dan mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam,” katanya.

Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu, antara lain berkaitan dakwaan parti itu tidak terbabit dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Bersatu sebelum ini mendakwa hak untuk hadir dan memberi pandangan pandangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) berdasarkan Fasal 7 Perlembagaan PN dinafikan apabila wakilnya dihalang daripada menghadiri mesyuarat berkenaan pada 16 Julai lalu.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kemudiannya, dilaporkan turut meminta RoS membuat keputusan segera terhadap aduan dikemukakan parti itu, termasuk lapan perkara yang didakwa dilanggar pimpinan PN.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut lapan perkara itu, sebaliknya menegaskan Setiausaha Agung parti,  Mohamed Azmin Ali sudah dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Kita membuat aduan dan daripada pertemuan itu, kita dapati RoS mengambil berat perkara berkenaan,” kata Muhyiddin.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment