Kes harian Covid-19 lepasi 2,000

PUTRAJAYA 9 Mei –  Selepas hampir seminggu Aidilfitri, Kes harian Covid-19 di negara ini kembali melepasi angka 2,000 semalam dengan merekodkan 2,153 kes berbanding 1,372 kelmarin dan 1,251 pada Jumaat.

Menurut data yang dikongsi dalam laman sesawang COVIDNOW, kes baharu semalam membabitkan 2,151 kes penularan tempatan dan dua kes import menjadikan jumlah keseluruhan 4,458,889 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Selangor menjadi negeri paling tinggi melaporkan pertambahan kes baharu iaitu sebanyak 1,157 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 261 kes dan Pulau Pinang sebanyak 156 kes.

Selain itu, turut mencatatkan kes baharu ialah di Negeri Sembilan dengan 105 kes, Perak (91), Johor (81), masing-masing 63 kes di Kedah dan Melaka, Pahang (35), masing-masing 34 kes di Sarawak dan Terengganu, Sabah (29), Kelantan (25), Putrajaya (7) dan masing-masing enam kes di Perlis dan Labuan.

Sehingga kini terdapat sebanyak 22,556 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini, daripada jumlah berkenaan sebanyak 94.7 peratus atau 21,363 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Turut dilaporkan ialah sejumlah 1,075 kes sedang menerima rawatan di hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (59), ICU (29) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (30).

Data COVIDNOW turut menunjukkan setakat ini terdapat empat kes kematian dilaporkan dan tiga daripadanya adalah kes kematian diluar fasiliti kesihatan (BID). Pertambahan itu menjadikan sehingga kini angka korban di negara ini meningkat kepada 35,583 kes.

Bagi kes sembuh, setakat semalam sebanyak 2,869 kes dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah individu yang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan ialah sebanyak 4,400, 750 kes.

Related posts

Leave a Comment