BN, PN tidak sertai PRN Sarawak

BARISAN Nasional (BN) dan Bersatu, komponen Perikatan Nasional (PN) tidak akan menurunkan sebarang calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.

Ini kali pertama BN tidak menurunkan calon selepas pada PRN Sarawak 2016, BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, berikutan kekalahan BN dalam PRU 2018, BN Sarawak dibubarkan dan parti komponennya menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bersatu salah satu komponen PN sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi GPS menganggap hasrat itu sudah terlambat.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, GPS telah meletakkan calon di semua 82 kerusi DUN.

Di Pagoh, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu tidak bertanding dalam PRN Sarawak tetapi akan membantu GPS

Beliau berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg, yang juga Presiden GPS.

“Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, langkah Bersatu tidak bertanding di PRN  itu bagi menghormati pandangan dan permintaan GPS supaya parti itu diberi laluan pada pilihan raya berkenaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, BN merupakan rakan akrab GPS, justeru ia tidak akan menyainginya.

“Kita sudah ada GPS yang disokongi kuat oleh rakyat Sarawak, dan sebuah kerajaan yang sangat berprestasi tinggi.

“Jadi tidak ada sebab untuk BN (bertanding di sini) walaupun keadaan ini buat pertama sekali dalam sejarah pilihan raya, sejak merdeka, BN tidak menyertainya, ” katanya selepas menghadiri Majlis Sepakat Komuniti di Mukah.

Annuar mengulas tindakan beberapa pihak yang tanpa autoriti menaikkan panji dan poster, menggambarkan BN akan bertanding dalam PRN Sarawak.

 

Related posts

Leave a Comment