Kian Ming bersara pada usia muda

BANGI 9 Mei – Dalam usia yang masih muda, Anggota Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming dari DAP hari ini mengumumkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Dalam kenyataan medianya, Kian Ming, yang dipilih mewakili Parlimen Bangi pada PRU 2018 menyatakan hasrat untuk berehat daripada barisan hadapan politik

Beliau yang sebelum itu adalah Anggota Parlimen Serdang sejak 2013 menyifatkan tempoh sembilan tahun sebagai satu penghormatan yang besar kepadanya.

“Tempoh selama sembilan tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen telah menjadi suatu pengalaman yang mengubah kehidupan saya,” katanya.

Beliau berkata, ramai yang mungkin tertanya-tanya sebab di sebalik keputusan  untuk tidak menawarkan diri sebagai calon dalam PRU15 termasuk kegagalan memenangi Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini.

Walaupun kekalahan itu turut memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

“Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya saya telah memberikan  yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara. Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepemimpinan,” katanya.

Katanya, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon P102 Bangi dalam PRU15.

“Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat kepada rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah Parlimen dibubarkan.

“Saya belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu. Saya bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat saya diperlukan,” katanya.

Kian Meng berkata, untuk jangka masa terdekat, selepas PRU15, beliau merancang untuk berehat dan meluangkan masa dengan bersenam, membaca, dan merenung semula bagaimana me pmanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang ada sepanjang tempoh sembilan tahun ini.

Sementara itu Kian Meng dalam satu muat naik di Twitter berkata, keputusan tersebut bukanlah diambil secara tergesa-gesa tetapi ia telah dibincangkan sejak tahun lepas.

“Saya melihatnya sebagai satu langkah untuk membuka lebih banyak pintu kepada pemimpin muda DAP. Butiran lanjut akan saya kongsikan dalam kenyataan media nanti,” katanya pada Isnin.

Kian Ming, 46, gagal mempertahankan kerusinya dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada Mac.

Kian Ming dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Related posts

Leave a Comment