Lebih 100,000 hadir Rumah Terbuka

PUTRAJAYA 8 Mei – Kehadiran lebih 100,000 orang ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2022 menzahirkan konsep keluarga besar Malaysia yang diidamkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sasaran awal kehadiran Keluarga Malaysia adalah seramai 70,000 namun sehingga program berkenaan berakhir kira-kira pukul 6 petang tadi lebih 100,000 yang hadir.

“Apa yang digambarkan pada hari ini dengan kehadiran yang ramai berbilang kaum seperti satu keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia seperti yang saya idam-idamkan.

Kita sasarkan 70,000 pengunjung, tapi saya dimaklumkan lebih 100,000 hadir. Sebab itu saya minta jangka masa ditambah dari apa yang kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka di Seri Perdana itu berakhir.

Ismail Sabri berkata, sambutan luar jangka itu menyebabkan majlis yang dijadualkan bermula pukul 10 pagi tadi dimulakan lebih awal serta berakhir kira-kira dua jam selepas waktu yang ditetapkan.

“Kita tutup jam 4 petang dan pengunjung terakhir yang bersalaman dengan saya pada jam 5 petang tadi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment