25 juta tan bijirin ‘tersangkut’

GENEVA: Kira-kira 25 juta tan bijirin tersangkut di pelabuhan Ukraine susulan pencerobohan Rusia menyebabkan bekalan itu tidak dapat dieksport kerana masalah infrastruktur selain sekatan di Laut Hitam dan Mariupol oleh Rusia .

Pegawai Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memaklumkan halangan itu menyebabkan lonjakan harga komoditi itu dalam pasaran makanan global sehingga mencapai rekod tertinggi pada Mac lalu berikutan operasi ketenteraan itu.

Kenaikan harga makanan dunia bagaimanapun dilihat mula berkurang pada bulan lalu, namun masalah kekurangan stok makanan asas masih menjadi isu kritikal.

Berdasarkan angka Majlis Bijirin Antarabangsa (IGC), Ukraine adalah pengeksport jagung keempat terbesar di dunia dan pengeksport gandum keenam terbesar pada musim 2020/2021.

“Ini adalah keadaan yang menggerunkan kerana bekalan hampir 25 juta tan bijirin yang tersangkut di Ukraine boleh dieksport untuk memenuhi tuntutan bekalan dunia.

“Namun, ia tidak boleh meninggalkan negara itu hanya kerana masalah infrastruktur dan sekatan pelabuhan,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Pasaran dan Perdagangan FAO, Josef Schmidhuber.

Beliau berkata, menara penyimpan yang penuh bijirin itu mungkin berdepan masalah untuk musim penuaian pada Julai dan Ogos akan datang.

Perkara lain yang turut membimbangkan adalah beberapa gudang dan kemudahan penyimpanan bijirin di Ukraine musnah semasa perang dengan Rusia .

Ukraine diwajibkan mengeksport bijirin menggunakan kereta api melalui sempadan baratnya atau dari pelabuhan kecil Sungai Danube sejak Moscow memulakan perang pada akhir Februari lalu.

Pihak berkuasa Ukraine berulang kali menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk meningkatkan eksport melalui kereta api dan melalui pelabuhan Danube.

Ukraine juga berharap eksport melalui laluan ini tidak lama lagi akan meningkat kepada lebih daripada sejuta tan sebulan.

Minggu lalu, Kementerian Pertanian berkata peniaga mengeksport 763,000 tan bijirin dalam tempoh 29 hari pertama April berbanding 2.8 juta tan metrik pada April 2021.

Ketua Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, berkata beliau amat bimbang akan kenaikan harga makanan dan sedang bekerjasama dengan rakan kongsi lain untuk mencari jawapan kepada masalah berkenaan.

Related posts

Leave a Comment